Saturday, December 26, 2009

MENGENALPASTI POTENSI BELIA

apa persatuan belia sepatutnya buat...

Saya teringat ketika lawatan pertukaran belia Negeri Sembilan ke Jepun pada satu ketika dahulu, dan menginap di sebuah hotel bertaraf 3 bintang. Saya dan rakan-rakan merasa kagum kerana Hotel itu adalah kepunyaan Majlis Belia di daerah tersebut (Tochigi). Untuk makluman semua, di Jepun tidak ada kementerian yang khas untuk belia seperti yang ada di Malaysia tetapi masih mampu untuk memiliki sebuah hotel. lebih menarik lagi, hotel itu mampu pula menjana pendapatan Majlis Belia tersebut untuk menampung aktiviti mereka dan mereka tidak lagi perlu bergantung kepada kerajaan bagi mendapatkan peruntukan.. Terus saya terfikir bagaimana pula belia di negara kita? Dan, bagaimana jika belia di negara ini mampu sehingga ke tahap itu.. Persoalannya, mampukah kita?


Jawapannya: tak mustahil. Cuba kita renungkan kenapa Bung Karno berani berkata: berikan aku 10 pemuda, nescaya akan kugoncang dunia ini.. ; dan cendikiawan Islam pernah berkata, jika ingin melihat bentuk rupa pemimpin di masa depan, lihatlah anak mudanya hari ini.. Bukankah itu memberi makna bahawa potensi orang muda iaitu golongan belia mampu memberi impak yang besar bukan saja kepada dirinya malah negara sekiranya potensi yang ada itu dikenalpasti, dipupuk dan dibaja dengan nilai jati diri, bersama keyakinan dan ilmu yang mantap di dalam dada setiap belia?


Sudah sampai masanya persatuan belia berperanan lebih dari sekadar menganjurkan program, sekadar menyertai perkhemahan, sekadar bermain bola atau sekadar menjadi budak suruhan untuk bermain kompang dan mengangkat dulang cenderahati. Kehadiran kita mesti dirasai, selari dengan kepimpinan yang ada di tempat masing-masing. Persatuan belia sepatutnya melibatkan diri secara aktif dalam setiap aspek pembangunan d itempat masing-masing, tidak kira di kampung, ataupun di bandar-bandar, terutamanya dari aspek pembangunan sosio-ekonomi belia itu sendiri. Aspek ini penting, kerana jika sebuah daerah itu maju dan meriah dengan aktiviti ekonomi secara tidak langsung akan berkuranglah kadar penghijrahan anak muda ke bandar kerana aktiviti tersebut telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka. Kita lihat hari ini kadar penghijrahan anak muda yang tinggi ke bandar meninggalkan kampung halaman menjadi kawasan perumahan orang tua-tua. Kerana apa? Jawapannya mudah saja: ramai di antara mereka ke bandar untuk mencari rezeki.


Sebagai contoh, Kempen Satu Daerah Satu Industri (SDSI) patut disambut oleh persatuan belia sebagai projek membangunkan taraf ekonomi daerah masing-masing. Kempen ini adalah satu lagi contoh yang diambil dari sebuah daerah di Jepun yang bernama Oita. (Saya difahamkan setiap daerah telah ditetapkan untuk mempunyai satu industri yang mempunyai daya maju untuk diketengahkan sebagai produk unik di daerah itu). Mengikut maklumat yang diberi melalui taklimat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar baru-baru ini, program One Village One Product (OVUP) di Oita, Jepun telah berjaya dibangunkan oleh pemimpin daerah itu sendiri dengan bantuan yang minimal dari kerajaan. Dan apa yang perlu diambil perhatian, Oita adalah sebuah daerah pedalaman yang agak mundur pada satu ketika dulu dan kini telah menjadi daerah pengeluar daging lembu yang bermutu tinggi sehingga boleh dimakan mentah. Mereka mampu mengeluarkan seekor lembu seberat 700kg selama 20 bulan, manakala harga daging lembu tersebut telah mencecah RM1000 sekilo! Bayangkan pendapatan yang mampu diraih oleh penternak di sana..



Itu tak termasuk lagi perniagaan lain yang muncul rentetan dari berkembangnya Industri Penternakan Daging iaitu pelancongan. Oleh kerana mutu daging yang tinggi, telah menyebabkan ramai pengunjung dari luar yang datang samada untuk membeli daging, belajar teknik penternakan malah untuk bercuti semata-mata kerana keunikan dan keenakkan daging daerah Oita. Sebenarnya banyak lagi rangkaian perniagaan boleh dikaitkan dengan Industri Penternakan Lembu: kraftangan, pertanian, perhotelan atau homestay, perikanan, pendidikan dan banyak lagi! Dan semuanya boleh diceburi oleh belia!


Tapi malangnya belum ada lagi yang berani untuk melaksanakannya. Kenapa? Kerana ianya terlalu besar dan hati pemimpin belia sekarang masih tersangat kecil, takut, serta masih tak percaya dengan potensi yang ada dalam diri mereka lagi..

1 comments:

Mezain said...

Belia kita leka dan lebih tertarik dengan keseronokan, tiada kesedaran untuk membina kemajuan walaupun segala kemudahan dan bantuan telah diberikan.

Post a Comment

 

my side of the story © 2008. Design By: SkinCorner